Friday, September 10, 2010

Raya pertama 2010

Takbir Raya, menimbulkan rasa syahdu dihatiku. Mengingatkan detik-detik kenangan arwah adikku. Sayup-sayup terbayang jelas wajahnya di fikiranku. Kenangan dengannya tak akan pernah luput dari ingatanku. Semoga rohnya hidup tenang di alam barzakh. Ku hadiahkannya seuntai surah Yassin agar rohnya mendapat keampunan dari Allah Swt.

Wasiat terakhirnya, memohon keampunan daripada semua sahabat-sahabatnya, pada keluarga,guru-guru. Sungguh terharu aku mendengarnya ketika dibacakan doa setelah selesai urusan pengebumiannya. Ketabahannya dalam melawan penyakitnya mengagumkan diriku padanya. Walaupun derita yang ditanggungnya tidak terperi namun sepatah kata, tiada rasa kesal atau cercaan di atas penyakitnya. Sungguh redha adikku terhadap penyakit yang dideritainya.

Rinduku padanya sentiasa dalam ingatan. Semoga Allah Swt memberi keampunan padanya dan meredhai pemergiannya. Hari ini, 10 september 2010 adalah raya pertama. Dengan itu, pertama kalinya juga aku ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Selama ini aku tidak pernah melaksanakan solat tersebut melainkan pada waktu kanak-kanak. Aku pun sudah tidak ingat cara untuk mengerjakannya.

Aku tidak mahu menjadi hamba kerja lagi. Aku ingin menjadi hamba Allah Swt. Selama ini, aku tidak dapat ke masjid untuk solat sunat Raya Aidilfitri kerana melaksanakan kerja-kerja rumah. Padahal, menuju rumah Allah itu adalah yang utama.