Sunday, September 5, 2010

PANDANGAN

Sebenarnya, pandangan boleh dikategorikan kepada 4 bahagian. Antaranya, pandangan nafsu, pandangan akal, pandangan mata, dan pandangan mata hati. Antara pandangan yang terbaik adalah pandangan mata hati. Pandangan mata hati adalah pandangan yang hakiki dan itulah sebenarnya yang perlu ada pada setiap insan agar menjadi hamba yang bertakwa kepada Allah SWT.

Pandangan mata sifatnya menipu, umpamanya pandangan pada bulan yang cantik di malam hari menampakkan kecantikan sinarannya. Namun realitinya, bulan bukannya secantik mana, malahan rupanya yang sebenar adalah berlubang-lubang. Pandangan mata juga dapat dilihat apabila sebatang kayu lurus diletakkan pada sebuah gelas berisi setengah air. Kita dapat melihat kayu tersebut bengkok, hakikat yang sebenar, kayu tersebut adalah lurus. Begitulah sifat pandangan mata yang selalu menipu.

Pandangan akal sifatnya boleh tersalah, seperti kajian-kajian yang dijalankan membatalkan pandangan pendapat sebelumnya. Contoh konsep bumi yang mendatar akhirnya dibuktikan dengan pandangan yang lain, dan begitulah seterusnya.

Pandangan nafsu pula, sifatnya melulu. Ruang dan peluang yang ada digunakan untuk melampiaskan kejahatannya. Pandangan nafsu ini hanya mementingkan keseronokan sahaja.

Semoga hati ini akan sentiasa mendapat pandangan mata hati. Dengan itu, hati perlulah dijaga agar sentiasa bersih dan mudah mendapat hidayah daripada Allah SWT.