Saturday, February 27, 2010

Berikan kesihatan padanya

Aku menekan punat nombor telefon bimbitku, kendengaran suara adik bongsuku menyambut. Aku menyuruh adikku memberikan telefon kepada ibuku. Biasanya, aku menelefon ibuku pada hujung minggu untuk bertanya kabar kepada mereka. Pada kali ini, aku sedih dan terkejut kerana ibuku menyatakan bahawa ayahku sakit. Sudah 4 hari tak makan, malahan sesuap nasipun tidak dijamahnya. Ya Allah pedih dan sayunya hatiku apabila mendengar kabar sedemikian. Apalah dosa yang telah aku lakukan sehingga ujian ini menimpa ayahku. Ya Allah kuatkanlah semangatku untuk menempuhi segala ujianMu. Aku akan cuba pasrah dan redha atas apa yang berlaku.

Aku berharap semoga aku dapat menolong ibubapaku di dunia dan akhirat. Akan aku cuba menjadi anak yang baik buat kedua ibubapaku. Ya Allah berilah aku kekuatan untuk menyayangi dan mengasihi kedua orang tuaku. Janganlah engkau pesongkan hati ini setelah mendapat hidayah daripadaMu. Aku tidak ingin menjadi anak derhaka. Ya Allah berikanlah kesihatan kepada kedua ibubapaku, sudah sampai waktunya aku harus berbakti kepada mereka. Ya Allah berilah aku petunjuk agar aku dapat berbakti kepada kedua orang tuaku.

Bayangan ku masih lagi segar ketika adikku yang kedua meninggalkan kami sekeluarga kerana menghadapi penyakit yang sukar diubati. Aku berasa sedih kerana pemergiannya aku tidak dapat membacakan yassin dengan sebutan yang lancar dan fasih. Ya Allah peritnya ujian pada waktu itu, tidak dapat ku bayangkan dia pergi buat selama-lamanya. Namun ketabahannya, kesabarannya dalam melawan penyakitnya membuatkan diriku kagum. Tidak sedikitpun, keluhan atau rintihan yang keluar daripada mulutnya lantaran penyakit yang dideritainya itu. Suatu hari, arwah adikku bertanya pada ibuku.. pada waktu itu, ibuku sedang membersihkan belakang badannya. Adik menanyakan pada ibu, tentang luka yang ada pada  belakannya sama ada parah atau tidak.

Ibu kelu dan sangat sedih untuk memberitahu keadaan yang sebenar. Luka di belakang kamu ni tidak dalam anakku, hanya sedikit sahaja. Kata ibuku membohongi perkara yang sebenar. Sedangkan kenyataan yang sebenar dapat kulihat sendiri bahawa belakang arwah adikku itu lukanya sangat parah sehinggakan sudah kelihatan tulang berwarna putih. Ya Allah tabahnya hati ibuku. Aku yang melihat ibuku berkata sedemikian berbohong pada arwah adikku supaya adikku tidak putus asa akan penyakit yang dihadapinya. Begitu tabahnya, ibuku menjaga adikku sepanjang hayatnya.

Pengorbanan ibu sangat tinggi kepada kami semua. Ya Allah, tenangkanlah hati ini atas apa jua ujian yang engkau berikan kepadaku. Semoga aku sentiasa bersedia dan redha atas apa yang berlaku. Mantapkanlah keimanan dan ketakwaan dalam diri ini agar sentiasa mendapat hidayah dan petunjuk daripadamu. Amin ya rabbal alamin.